·
Hawa Bersedia Untuk Melahirkan Anak
Tatacara hidup suami
isteri Adam dan Hawa di bumi mulai tertib dan sempurna tatkala Hawa bersedia
untuk melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi benih pertama bagi umat manusia
di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar
dua pasang. Pertama lahirlah pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi
nama "Iqlima", kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik
perempuannya yang diberi nama "Lubuda".
Kedua orang tua,
Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima kelahiran keempat putera puterinya itu dengan
senang dan gembira, walaupun Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai
oleh setiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat anak
pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak untuk
mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan amanat yang telah di bebankan ke
atas bahunya.
Di bawah naungan ayah
ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang maka membesarlah keempat-empat anak
itu dengan cepatnya melalui masa kanak-kanak dan menginjak masa remaja. Yang
perempuan sesuai dengan kudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus
rumahtangga dan mengurus hal-hal yang menjadi tugas wanita,sedang yang
laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi keperluan
hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan Habil di bidang
perternakan.
Penghidupan sehari-hari
keluarga Adam dan Hawa berjalan tertib sempurna diliputi rasa kasih sayang
saling cinta mencintai hormat menghormati masing-masing meletakkan dirinya
dalam kedudukan yang wajar si ayah terhadap isterinya dan putera-puterinya,si
isteri terhadap suami dan anak-anaknya. Demikianlah pula pergaulan di antara
keempat bersaudara berlaku dalam harmoni damai dan tenang saling bantu membantu
hormat menghormati dan bergotong-royong.
·
Keempat Anak Adam Memasuki Alam Remaja
Keempat putera-puteri Adam
mencapai usia remaja dan memasuki alam akil baligh di mana nafsu berahi dan
syahwat serta hajat kepada hubungan kelamin makin hari makin nyata dan nampak
pada gaya dan sikap mereka hal mana menjadi pemikiran kedua orang tuanya dengan
cara bagaimana menyalurkan nafsu berahi dan syahwat itu agar terjaga kemurnian
keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di antara
putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah
memberi ilham dan petunjuk agar kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya.
Qabil dikahwinkan dengan adik Habil yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik
Qabil yang bernama Iqlima.
Cara yang telah di ilham
oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam telah disampaikan kepada kedua puteranya
sebagai keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk
menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan
rumahtangga mereka. Akan tetapi dengan tanpa diduga dan disangka rancangan yang
diputuskan itu ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan menyatakan bahawa ia tidak
mahu mengahwini Lubuda, adik Habil dengan mengemukakan alasan bahawa Lubuda
adalah buruk dan tidak secantik adiknya sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa
ia lebih patut mempersunting adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan
sekali-kali tidak rela menyerahkannya untuk dikahwinkan oleh Habil. Dan memang
demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah dan
rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan permusuhan
yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki
di antara sesama keluarga dan sesama suku.
Kerana Qabil tetap
berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya
dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima maka Nabi Adam seraya
menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan
di antara saudara serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga beliau
secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada
Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing- masing dari Qabil dan
Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan catatan bahawa barang siapa
di antara kedua saudara itu diterima korbannya ialah yang berhad menentukan pilihan
jodohnya.
Qabil dan Habil menerima
baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali
membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang
dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan busuk kemudian diletakkan
kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit lalu
pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis
korban itu.
Kemudian dengan disaksikan
oleh seluruh anggota keluarga Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang
akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api
besar yang turun dari langit menyambar kambing binatang korban Habil yang
seketika itu musnah ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak
tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian
keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan itu karena korban kambing
telah diterima oleh Allah sehingga dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih
siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan dipersandingkan menjadi
isterinya.
·
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia
Dengan telah jalurnya
keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak korban Qabil maka
pudarlah harapan Qabil untuk mempersandingkan Iqlima tidak puas dengan
keputusan itu namun tidak ada jalan untuk menyoalkan. Ia menyerah dan
memerainya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil
yang akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika Adam hendak
berpergian dan meninggalkan rumah beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga
kepada Qabil. Ia berpesan kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan
saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan
keluarga dan ketenangan rumahtangga terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi
hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang
sudah akrab dan intim.
Qabil menerima pesanan dan
amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan
amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat
segala sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan. Demikianlah kata-kata dan
janji yang keluar dari mulut Qabil namun dalam hatinya ia berkata bahawa ia
telah diberi kesempatan yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan
melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil saudaranya.
Tidak lama setelah Adam
meninggalkan keluarganya datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya.
Berkata ia kepada Habil:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya
telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini."
"Apa
salahku?"tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau hendak membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah
kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti
bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku
harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik
itu."
Habil berkata:"Adakah
berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah
engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana
telah kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan
hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak
akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban
dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati
yang suci dan niat yang murni.Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau
serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan
engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga
ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban
yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan
ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah, wahai
saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan
kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu
dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak
membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut
kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya
berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi
diriku."
Nasihat dan kata-kata
mutiara Habil itu didengar oleh Qabil namun masuk telinga kanan keluar telinga
kiri dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa
dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai,
cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Qabil yang dikendalikan
oleh Iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan
kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api
dendam dan dengkin didalam dadanya mulai akan padam dikipasinya kembali oleh
Iblis agar tetap menyala-yala dan ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana ia
harus membunuh Habil saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang
dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu
diterapkannya atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah
Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban
pembunuhan pertama dalam sejarah manusia
·
Penguburan Jenazah Habil
Qabil merasa gelisah dan
bingung menghadapi mayat saudaranya.ia tidak tahu apa yang harus diperbuat
dengan tubuh saudaranya yang semakin lama semakin busuk itu.Diletakkannyalah
tubuh itu di sebuah peti yang dipikulnya seraya mundar-mundir oleh Qabil dalam
keadaan sedih melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh
jenazah Habil yang sudah busuk itu.
Kebingungan dan kesedihan
Qabil tidak berlangsung lama kerana ditolong oleh suatu contoh yang diberikan
oleh Tuhan kepadanya sebagaimana ia harus menguburkan jenazah saudaranya
itu.Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat
mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka
dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak menggali tanah
dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam
pertarungan, ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan
tanah. Melihat contoh dan pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu,
termenunglah Qabil sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri:"Alangkah
bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti
caranya menguburkan mayat saudaraku ini?"
Kemudian kembalilah Adam
dari perjalanan jauhnya.Ia tidak melihat Habil di antara putera-puterinya yang
sedang berkumpul.Bertanyalah ia kepada Qabil:"Di manakah Habil berada?Aku
tidak melihatnya sejak aku pulang."
Qabil menjawab:"Entah,
aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke
mana saja ia pergi."
Melihat sikap yang angkuh
dan jawapan yang kasar dari Qabil, Adam dapat meneka bahawa telah terjadi
sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti
terhadap kedua orang tuanya itu.Pada akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati
dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya.Ia sangat sesal di atas perbuatan
Qabil yang kejam dan ganas itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan
keluarga diketepikan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang
menyesatkan.
Menghadapi musibah itu,
Nabi Adam hanya berpasrah kepada Allah menerimanya sebagai takdir dan
kehendak-Nya seraya mohon dikurniai kesabaran dan keteguhan iman baginya dan
kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.
·
Kisah Qabil dan Habil Dalam Al-Quran
Dan bacakanlah (wahai
Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil
dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua
mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada
Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak
diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya
aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima
(korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
(Al-Maidah 5:27)
Maka nafsu jahat (Qabil)
mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya.
Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi .
(Al-Maidah 5:30)
Kemudian Allah hantarkan
seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan
kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata:
"Wahai celakanya
aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung
gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu
menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.
(Al-Maidah 5:31)
·
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam a.s.
Bahawasanya Allah s.w.t.
hanya menerima korban dari seseorang yang menyerahkannya dengan tulus dan
ikhlas, tidak dicampuri dengan sifat riyak, takabur atau ingin dipuji.Barang
atau binatang yang dikorbankan harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya
dari harta dan penghasilan yang halal.Jika korban itu berupa binatang
sembelihan, harus yang sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun cacat, dan
jika berupa bahan makanan harus yang masih segar baik dan belum rusak atau
busuk.
Bahawasanya penyelesaian
jenazah manusia yang terbaik adalah dengan cara penguburan sebagaimana telah
diajarkan oleh Allah kepada Qabil.itulah cara paling sesuai dengan martabat
manusia sebagai makhluk yang dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah di atas
makhluk-makhluk lainnya, menurut firman Allah dalam surah "Al-Isra"
ayat 70 yang bererti ; "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak
Adam.Kami angkut mereka di daratan dan di lautan.Kami beri mereka rezeki dari
yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas
kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan."
No comments:
Post a Comment