Kaum Madyam, kaumnya Nabi
Syu'ib, adalah segolongan bangsa Arab yang tinggal di sebuah daerah bernama
"Ma'an" di pinggir negeri Syam. Mereka terdiri dari orang-orang kafir
tidak mengenal Tuhan Yang Maha Esa. Mereka menyembah kepada "Aikah"
iaitu sebidang padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman.
Cara hidup dan istiadat mereka sudah sangat jauh dari ajaran agama dan
pengajaran nabi-nabi sebelum Nabi Syu’ib a.s.
Banyak orang di zaman kita
beranggapan bahawa agama hanya merupakan program-program yang kosong dan
nilai-nilai akhlak semata. Ini adalah keyakinan klasik dan salah. Pada
hakikatnya, agama adalah sistem dalam kehidupan dan pergaulan. Intinya ialah
hubungan dengan Allah s.w.t. Oleh kerana itu, usaha memisahkan antara
masalah-masalah tauhid dan perilaku manusia dalam kehidupan mereka sehari-hari
bererti memisahkan agama dari kehidupan dan mengubahnya menjadi adat- istiadat,
tradisi-tradisi, dan acara-acara ritual yang hampa. Kisah Nabi Syu’ib
menampakkan hal yang demikian secara jelas.
Allah s.w.t mengutus
Syu’ib pada penduduk Madyan:
"Dan kepada
(penduduk) Madyan (kami utus) saudara mereka, Syu 'ib. Ia berkata: 'Hai kaumku,
sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia.'"
(QS. Hud: 84)
Ini adalah dakwah yang
sama yang diserukan oleh setiap nabi. Dalam hal ini tidak ada perbezaan antara
satu nabi dan nabi yang lain. Ia merupakan dasar akidah dan tanpa dasar ini
mustahil suatu bangunan akan berdiri. Setelah peletakan bangunan tersebut,
Syu’ib mulai menyuarakan dakwahnya:
"Dan janganlah kamu
kurangi takaran dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang
baik (mampu) dan sesungguhnya aku khawatir terhadapmu akan azab hari yang
membinasakan (kiamat)."
(QS. Hud: 84)
Setelah menjelaskan
masalah tauhid secara langsung, Nabi Syu’ib berpindah pada masalah muamalah
sehari-hari yang berkenaan dengan kejujuran dan keadilan. Adalah hal yang
terkenal pada penduduk Madyan bahawa mereka mengurangi timbangan dan mereka
tidak memberikan hak-hak manusia. Ini adalah suatu kehinaan yang menyentuh
kesucian hati dan tangan sebagaimana menyentuh kesempurnaan harga diri dan
kemuliaan.
Para penduduk Madyan
beranggapan bahawa mengurangi timbangan adalah salah satu bentuk kelihaian dan
kepandaian dalam jual-beli serta bentuk kelicikan dalam mengambil dan membeli.
Kemudian nabi mereka datang dan mengingatkan bahawa hal tersebut merupakan hal
yang hina dan termasuk pencurian. Nabi Syu’ib memberitahukan kepada mereka
bahawa beliau khawatir jika mereka meneruskan perbuatan keji itu nescaya akan
turun kepada mereka azab di mana manusia tidak akan dapat menghindar dari
seksaan itu. Perhatikanlah bagaimana campur tangan Islam melalui Nabi Syu’ib
yang diutus kepada manusia di mana ia memperhatikan persoalan jual-beli dan
mengawasinya:
"Hai kaumku,
cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan
manusia terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka
bumi dengan membuat kerosakan."
(QS. Hud: 85)
Nabi Syu’ib meneruskan
misi dakwahnya. Beliau mengulang-ulangi nasihatnya kepada mereka dengan cara
yang baik dan mengajak ke jalan yang baik, tidak ke jalan yang buruk; beliau
menghimbau kepada mereka untuk menegakkan timbangan dengan keadilan dan
kebenaran dan mengingatkan mereka agar jangan merampas hak-hak orang lain.
Merampas hak-hak orang lain itu tidak terbatas pada jual-beli saja, namun juga
berhubungan dengan perbuatan-perbuatan lainnya; beliau memerintahkan mereka
untuk menegakkan timbangan keadilan dan kejujuran. Demikianlah seruan dari agama
tauhid dan akidah tauhid di mana ia selalu menyuarakan kejujuran dan keadilan.
Agama selalu memerintahkan
manusia untuk menjalin kerjasama sesama mereka dalam kehidupan sehari-hari
dengan cara-cara yang bijaksana dan baik, baik menyangkut hubungan kerja,
hubungan peribadi mahupun hubungan lainnya. Al-Quran al-Karim mengatakan:
"Dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka. "Dan
kata as-Syai' (sesuatu) dalam ayat tersebut diucapkan kepada hal-hal yang
bersifat materi dan yang bersifat non-materi (rohani) di mana masuk dalam
kategori itu perbuatan-perbuatan dan hubungan-hubungan yang menghasilkan.
Al-Quran melarang segala bentuk kezaliman, baik kezaliman berkenaan dengan
menimbang buah-buahan atau sayur- sayuran mahupun kezaliman dalam bentuk tidak
memberikan penghargaan terhadap usaha manusia dan pekerjaan mereka. Sebab,
kelaliman terhadap manusia akan menciptakan suasana ketidakharmonisan yang
berakibat pada timbulnya penderitaan, sikap putus asa, dan sikap tidak peduli,
sehingga pada akhirnya hubungan sesama manusia berjalan tidak harmonis dan
menimbulkan kegoncangan dalam kehidupan. Oleh kerana itu, Al-Quran mengingatkan
agar jangan sampai ada manusia yang berbuat kerosakan di muka bumi:
"Dan janganlah kamu
membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan. Sisa (keuntungan) dari
Allah adalah lebih baik bagimu jika kamu orang-orang yang beriman. Dan aku
bukanlah seorang penjaga atas dirimu."
(QS. Hud: 85-86)
Yang di maksud al-'Atsu
ialah sengaja membuat kerosakan dan bertujuan untuk membuat kerosakan.
Janganlah kalian membuat kerosakan di muka bumi; janganlah kalian sengaja untuk
menciptakan keonaran di muka bumi. Apa yang ada di sisi Allah s.w.t adalah hal
yang terbaik buat kalian jika kalian benar-benar beriman. Kemudian Nabi Syu’ib
memberitahu kepada mereka bahawa ia tidak memiliki sesuatu kepada mereka; ia
tidak dapat menguasai mereka tidak juga ia selalu mengawasi mereka. Beliau
hanya sekadar seorang rasul atau utusan untuk menyampaikan ajaran Tuhannya:
"Dan aku bukanlah
seorang penjaga atas dirimu. "
(QS. Hud: 86)
Dengan cara yang demikian,
Nabi Syu’ib menjelaskan kaumnya bahawa masalah yang mereka hadapi saat ini
sangat penting dan sangat serius, bahkan sangat berat. Beliau memberitahu
mereka akibat yang bakal mereka terima jika mereka membuat kerosakan.
Selesailah bahagian pertama dari dialog Nabi Syu’ib bersama kaumnya. Nabi
Syu’ib telah mengawali pembicaraan dan kaumnya mendengarkan. Kemudian beliau
berhenti dari pembicaraannya dan sekarang kaum membuka pembicaraan:
"Mereka berkata: 'Hai
Syu’ib, apakah agamamu yang menyuruh agar kami meninggalkan apa yang disembah
oleh bapak-bapak kami atau melarang dan berbuat apa yang kami kehendaki tentang
harta kami. Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal "
(QS. Hud: 87)
Para penduduk Madyan yang
kafir mereka biasa merampok dan menyembah al-Aikah, yaitu pohon dari al-Aik
yang dikelilingi oleh dahan- dahan yang berputar di sekelilingnya. Mereka
termasuk orang-orang yang menjalin hubungan sesama manusia dengan cara-cara
yang sangat keji. Mereka suka mengurangi timbangan; mereka mengambil yang lebih
darinya dan tidak menghiraukan kekurangannya. Perhatikanlah semua itu dalam
dialog mereka bersama Syu’ib. Mereka berkata, "wahai Syu’ib apakah agamamu
yang memerintahkanmu...?" Seakan-akan agama ini mendorong Syu’ib dan
membisikinya serta memerintahnya sehingga ia mentaati tanpa pertimbangan dan
pemikiran. Sungguh Syu’ib telah berubah dengan agamanya itu menjadi alat yang
bergerak dan alat yang tidak sedar. Demikianlah celaan dan tuduhan keji yang
dialamatkan oleh kaum Nabi Syu’ib kepadanya. Agama Syu’ib telah membuatnya gila
dan membuatnya nekad untuk memerintahkan mereka meninggalkan apa yang selama
ini mereka sembah dan disembah oleh kakek-kakek mereka. Kakek-kakek mereka
telah menyembah tumbuh-tumbuhan dan pohon- pohonan sementara agama Syu’ib
memerintahkan mereka untuk hanya menyembah Allah s.w.t. Kenekatan model apa
dari Syu’ib ini?
Dengan ejekan dan
penghinaan ini, Nabi Syu’ib menghadapi dialog yang terjadi dengan mereka.
Kemudian mereka kembali bertanya-tanya dengan penuh keheranan dan dengan nada
mengejek: "Apakah agamamu yang menyuruh agar kami meninggalkan apa yang
disembah oleh bapak- bapak kami." Tidakkah engkau sedar wahai Syu’ib
bahawa agamamu ingin mencampuri keinginan kita dan cara kita menggunakan harta
kita? Apakah hubungan keimanan dan salat dengan muamalah materi?
Dengan pertanyaan ini,
kaum Nabi Syu’ib mengira bahawa mereka mencapai suatu tingkat kecerdasan.
Mereka mengemukakan di hadapannya masalah keimanan, dan mereka mengingkari
adanya keterkaitan antara perilaku manusia dan muamalah mereka serta
perekonomian mereka. Ini adalah masalah yang klasik; ini adalah usaha untuk
memisahkan antara ekonomi dan Islam di mana setiap nabi justru di utus untuknya
meskipun nama-nama mereka berbeza-beza; ini adalah masalah kuno yang diungkap
oleh kaum Nabi Syu’ib di mana mereka mengingkari bahawa agama turut campur
dalam kehidupan sehari-hari mereka, perekonomian mereka dan cara mereka
menggunakan harta mereka. Mereka menganggap bahawa menginfakkan harta atau
menggunakannya atau menghambur-hamburkannya adalah suatu yang tidak berhubungan
dengan agama. Hal itu menyangkut kebebasan peribadi manusia. Bukankah itu
hartanya yang khusus lalu mengapa agama turut campur di dalamnya?
Demikianlah pemahaman kaum
Nabi Syu’ib kepada Islam yang dibawa oleh Nabi Syu’ib. Kami kira pemahaman
demikian sedikit atau banyak tidak berbeza dengan pemahaman banyak masyarakat
di zaman kita sekarang mereka menganggap bahawasanya Islam tidak memiliki
kaitan dengan kehidupan peribadi manusia dan kehidupan perekonomian mereka.
Oleh kerana itu, manusia dapat menggunakan harta mereka sesuai dengan kemahuan
mereka: "Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi
berakal."
Mereka ingin mengatakan
kepada Nabi Syu’ib, seandainya engkau seorang yang bijaksana dan memiliki
pemikiran yang matang nescaya engkau tidak akan mengatakan apa yang telah
engkau katakan. Mereka kembali mengejek Nabi Syu’ib dan merendahkan dakwahnya.
Seandainya Anda bertanya kepada kaum Nabi Syu’ib tentang pemahaman agama mereka
maka mereka pasti mengingkari bahawa agama adalah sebagai sistem dalam
kehidupan yang menjadikan hidup lebih mulia, lebih suci, lebih adil dan lebih
pantas manusia untuk menjabat sebagai khalifatullah di muka bumi; seandainya
Anda bertanya kepada mereka tentang agama nescaya mereka memberitahumu bahawa
ia hanya berupa kumpulan nilai-nilai rohani yang baik yang tidak mewarnai
kehidupan sehari-hari. Dengan pemahaman seperti ini, agama hanya sekadar
hiasan. Ini adalah pemahaman yang menggelikan kerana Allah s.w.t mengutus para
nabi dan ajaran-ajaran yang mereka bawa bukan untuk perhiasan dan main- mainan.
Maha Suci Allah s.w.t dari
semua itu. Allah s.w.t mengutus para nabi-Nya dengan membawa sistem baru dalam
kehidupan, yaitu sistem yang mencakup nilai-nilai dan pemikiran-pemikiran yang
itu semua tidak akan bermakna jika tidak berubah menjadi suatu sistem dalam
kehidupan secara umum dan mengatur kehidupan secara khusus. Dengan pemahaman
seperti inilah agama menjadi mulai dan agama menjadi benar adanya. Dan dengan
asumsi seperti ini, kita memahami seberapa jauh campur tangan agama dalam
persoalan-persoalan kehidupan sehari- hari: dimulai dari hubungan-hubungan
cinta sampai undang-undang perkahwinan, bahkan cara mengambil keputusan hidup
sampai sistem dalam menginfakkan wang dan menggunakannya, juga sistem dalam
cara menggunakan dan mengagihkan kekayaan dan sebagainya. Jika manusia memahami
agama seperti ini maka jadilah agama sesuatu kebenaran. Dan kalau tidak, agama
laksana puing-puing saja.
Nabi Syu’ib mengetahui
bahawa kaumnya mengejeknya kerana mereka menganggap agama tidak turut campur
dalam kehidupan sehari-hari. Namun, beliau menghadapi semua itu dengan penuh
kelembutan dan kasih sayang kerana beliau yakin apa yang beliau bawa adalah
kebenaran. Beliau tidak peduli dengan ejekan mereka dan tidak tersinggung
dengannya dan tidak mempersoalkan hal itu; beliau memberi pengertian kepada
mereka bahawa beliau berada di atas kebenaran dari Tuhannya; beliau adalah
seorang nabi yang mengetahui kebenaran; beliau tidak melarang mereka untuk
meninggalkan sesuatu yang di balik larangan itu mendatangkan keuntungan
peribadi buatnya; beliau tidak ingin menasihati mereka dalam kejujuran agar
pasar menjadi sepi dan kerananya beliau mengambil manfaat; beliau hanya sekadar
seorang nabi di mana dakwah setiap nabi tergambar dalam ungkapan yang singkat:
"Aku tidak
bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan.
"
(QS. Hud: 88)
Yang beliau inginkan hanya
al-Islah (usaha membuat perbaikan). Demikianlah kandungan dan inti dakwah para
nabi yang sebenarnya. Mereka adalah al-Muslihun, yaitu orang-orang yang membuat
perbaikan; mereka memperbaiki akal, memperbaiki hati dan memperbaiki kehidupan
yang umum dan kehidupan yang khusus:
"Syu’ib berkata: 'Hai
kaumku, bagaimana fikiranku jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku
dan dianugerahi-Nya aku dari-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi
perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan)
apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan
selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan
(pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah bertawakal dan hanya kepada-Nya lah aku
kembali.'"
(QS. Hud: 88)
Setelah Nabi Syu’ib
menjelaskan tujuan-tujuannya kepada mereka dan menyingkapkan kebenaran
dakwahnya, beliau mulai mengotak-atik akal- akal mereka; beliau mengungkapkan
kepada mereka bagaimana pergelutan orang-orang sebelum mereka dengan para nabi
sebelumnya, yaitu kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh, dan kaum Nabi
Luth yang masa mereka tidak jauh dengan masa Nabi Syu’ib. Beliau mulai
berdialog dengan mereka dan mengingatkan mereka bahawa sikap penentangan mereka
justru akan mendatangkan seksaan bagi mereka. Nabi Syu’ib mengingatkan mereka
bagaimana nasib orang-orang yang mendustakan kebenaran:
"Hai kaumku, janganlah
hendaknya pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat
hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum
Saleh, sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu. Dan mohonlah
ampun dari Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada- Nya,sesungguhnya Tuhanku Maha
Penyayang lagi Maha Pengasih. "
(QS. Hud: 89-90)
Usai Nabi Syu’ib berdakwah
kepada Allah s.w.t dan menjelaskan al-ishlah (usaha memperbaiki masyarakat) dan
mengingatkan mereka bahaya penentangan serta menakut-nakuti mereka dengan
menceritakan kembali seksaan yang diterima orang-orang yang berbohong sebelum
mereka. Meskipun demikian, Nabi Syu’ib tetap membukakan pintu pengampunan dan
pintu taubat bagi mereka. Beliau menunjukkan kepada mereka kasih sayang
Tuhannya Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Namun kaum Nabi Syu’ib memilih
azab. Kekerasan hati mereka dan keinginan mereka untuk mendapatkan harta yang
haram serta rasa puas dengan sistem yang mengatur mereka, semua itu menyebabkan
mereka menolak kebenaran:
"Mereka berkata:
'Hai Syu’ib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan
itu.'"
(QS. Hud: 91)
Kami tidak memahamimu.
Engkau adalah seorang yang mengacau; engkau mengatakan sesuatu yang tidak
dimengerti:
"Dan sesungguhnya
kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami."
(QS. Hud: 91)
Beliau dikatakan sebagai
orang yang lemah kerana orang-orang fakir dan orang-orang yang menderita adalah
orang-orang yang beriman padanya, sedangkan orang-orang kaya dan para pembesar
telah menentang mereka. Demikianlah pertimbangan umumnya manusia yang tidak
memiliki kekuatan cukup untuk menghadapi kebenaran dakwah Nabi Syu’ib di mana
beliau dianggap sebagai orang yang lemah:
"Kalau tidaklah
kerana keluargamu tentulah kami akan merejammu."
(QS. Hud: 91)
Seandainya kalau bukan
kerana keluargamu dan kaummu dan orang-orang yang mengikutimu nescaya kami akan
menggali suatu lubang dan kami akan bunuh kamu di lubang itu dengan cara
melempari kamu dengan batu:
"Sedang kamu pun
bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami."
(QS. Hud: 92)
Kaum Nabi Syu’ib berpindah
dari cara mengejek pada cara menyerang. Nabi Syu’ib telah menyampaikan bukti
kepada mereka setelah mereka mengejeknya, lalu mereka mengubah cara mereka
berdialog. Mereka memberitahunya bahawa mereka tidak memahami apa yang beliau
katakan dan mereka melihat bahawa Nabi Syu’ib sebagai orang yang lemah dan
hina. Dan seandainya kalau bukan kerana mereka takut (kasihan) kepada
keluarganya nescaya mereka akan membunuhnya. Mereka menampakkan kebencian
kepada Nabi Syu’ib dan ingin sekali untuk membunuhnya kalau bukan kerana
alasan-alasan yang berhubungan dengan keluarganya. Menghadapi ancaman itu, Nabi
Syu’ib tetap menunjukkan sikap lembutnya lalu beliau bertanya kepada mereka
dengan maksud untuk menggugah ke sekian kalinya akal mereka:
"Syu’ib menjawab:
'Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada
Allah. "
(QS. Hud: 92)
Apakah cukup rasional jika
mereka membayangkan hal tersebut? Mereka melupakan hakikat kekuatan yang
mengatur alam. Sesungguhnya hanya Allah s.w.t Yang Maha Mulia dan Maha Kuat.
Seharusnya mereka mengingat hal itu; seharusnya seseorang tidak takut kepada
apapun selain Allah s.w.t dan tidak membandingkan kekuatan di alam wujud ini
dengan kekuatan Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t Yang Kuat dan hanya Dia yang
mengatur hamba-hamba-Nya.
Tampak bahawa kaum Nabi
Syu’ib mulai kesal dan semakin kesal dengannya, lalu berkumpullah para pembesar
kaumnya:
"Pemuka-pemuka dari
kaum Syu'ib yang menyombongkan diri berkata: 'Sesungguhnya kami akan mengusir
kamu hai Syu’ib dan dengan orang-orang yang beriman bersamamu dari kota kami,
kecuali kamu kembali kepada agama kami.'"
(QS. al-A'raf: 88)
Mereka menggunakan tahap
baru dengan cara mengancam Nabi Syu’ib; mereka mengancamnya untuk membunuh dan
mengusir dari desa mereka; mereka memberi pilihan kepada Nabi Syu’ib antara
terusir dan kembali kepada agama mereka yang menyembah pohon-pohon dan
benda-benda mati. Nabi Syu’ib memberitahu kepada mereka bahawa masalah
kembalinya ia ke agama mereka adalah masalah yang tidak berhubungan dengan
masalah-masalah yang disebutkan dalam perjanjian. Sungguh Allah s.w.t telah
menyelamatkan beliau dari agama mereka lalu bagaimana beliau kembali lagi
padanya? Beliau yang mengajak mereka pada agama tauhid lalu bagaimana beliau
mengajak mereka untuk kembali pada kesyirikan dan kekufuran? Beliau mengajak
mereka dengan cara yang lembut dan kasih sayang sementara mereka
mengancamnya dengan kekuatan.
Demikianlah pertentangan antara Nabi Syu’ib
dan kaumnya semakin berlanjutan. Nabi Syu’ib memegang amanat dakwah untuk
menghadapi para pembesar, para pendusta, dan para penguasa kaumnya. Akhirnya,
Nabi Syu’ib mulai mengetahui bahawa mereka tidak lagi memiliki harapan kerana
mereka telah berpaling dari Allah s.w.t:
"Sedang Allah kamu
jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu? Sesungguhnya pengetahuan Tuhanku
meliputi apa yang kamu kerjakan. Dan (dia berkata): 'Hai kaumku, berbuatlah
menurut kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu akan
mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang
berdusta. Dan tunggulah azab (Tuhan). Sesungguhnya aku pun menunggu bersama
kamu."
(QS. Hud: 92-93)
Nabi Syu’ib berlepas diri
dari mereka. Mereka telah berpaling dari agama Allah s.w.t bahkan telah
mendustakan nabi-Nya dan menuduhnya bahawa ia tersihir dan seorang pembohong.
Maka, setiap orang hendaklah melakukan apa saja yang diinginkannya dan
hendaklah mereka menunggu azab Allah s.w.t. Kemudian pergelutan antara Nabi
Syu’ib dan kaumnya berakhir adanya fasa baru. Mereka meminta kepada Nabi Syu’ib
untuk mendatangkan azab dari langit jika beliau termasuk orang-orang yang
benar. Dengan nada mencabar dan menentang, mereka berkata: "di mana azab
itu, di mana seksaan yang dijanjikan itu? Mengapa terlambat datang?"
Mereka mengejek Nabi
Syu’ib dan beliau dengan tenang menunggu datangnya azab Allah s.w.t. Allah
s.w.t mewahyukan kepada beliau agar keluar bersama orang-orang mukmin dari desa
tersebut. Akhirnya, Nabi Syu’ib keluar bersama para pengikutnya dan datanglah
azab Allah s.w.t:
"Dan tatkala datang azab
Kami. Kami selamatkan Syu’ib dan orang- orang yang beriman bersama-sama dengan
dia dengan rahmat dari kami, dan orang-orang lalim dibinasakan oleh satu suara
yang mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya.
Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, kebinasaan
bagi penduduk Madyan sebagaimana kaum Tsamud telah binasa."
(QS. Hud: 94-95)
Ia adalah teriakan sekali
saja satu suara yang datang kepada mereka dari celah-celah awan yang
menyelimuti. Mula-mula mereka barangkali bergembira kerana membayangkan itu
akan membawa hujan tetapi mereka dikejutkan ketika datang kepada mereka seksaan
yang besar pada hari yang besar.
Selesailah masalah ini.
Mereka menyedari bahawa teriakan itu membawa bencana buat mereka; teriakan itu
menghanguskan setiap makhluk yang ada di dalam negeri itu. Mereka tidak mampu
bergerak dan tidak mampu menyembunyikan diri dan tidak pula mereka dapat
menyelamatkan diri mereka.
No comments:
Post a Comment