Dalam
sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud
a.s sedang duduk dalam suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba
dia terpandang seekor ulat merah pada debu. Lalu Nabi Daud a.s. berkata pada
dirinya, "Apa yang dikehendaki Allah dengan ulat ini?"
Sebaik
sahaja Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah pun mengizinkan ulat merah
itu berkata-kata. Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud
a.s. "Wahai Nabi Allah! Allah s.w.t telah mengilhamkan kepadaku untuk
membaca 'Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu
akbar' setiap hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah
mengilhamkan kepadaku supaya membaca 'Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil
ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim' setiap malam sebanyak 1000
kali.
Setelah
ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud a.s.
"Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah
darimu?" Akhirnya Nabi Daud menyedari akan kesilapannya kerana memandang
remeh akan ulat tersebut, dan dia sangat takut kepada Allah s.w.t. maka Nabi
Daud a.s. pun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah s.w.t. Begitulah sikap
para Nabi a.s. apabila mereka menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka
dengan segera mereka akan bertaubat dan menyerah diri kepada Allah s.w.t.
Kisah-kisah yang berlaku pada zaman para nabi bukanlah untuk kita ingat sebagai
bahan sejarah, tetapi hendaklah kita jadikan sebagai teladan supaya kita tidak
memandang rendah kepada apa sahaja makhluk Allah yang berada di bumi yang
sama-sama kita tumpangi ini.
No comments:
Post a Comment