Nabi Ayub as menggambarkan
sosok manusia yang paling sabar, bahkan bisa dikatakan bahawa beliau berada di
puncak kesabaran. Sering orang menisbatkan kesabaran kepada Nabi Ayub.
Misalnya, dikatakan: seperti sabarnya Nabi Ayub. Jadi, Nabi Ayub menjadi simbol
kesabaran dan cermin kesabaran atau teladan kesabaran pada setiap bahasa, pada
setiap agama, dan pada setiap budaya. Allah s.w.t telah memujinya dalam
kitab-Nya yang berbunyi:
"Sesungguhnya Kami
dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya
dia amat taat (kepada Tuhannya)."
(QS. Shad: 44)
Yang di maksud al-Aubah
ialah kembali kepada Allah s.w.t. Nabi Ayub adalah seseorang yang selalu
kembali kepada Allah s.w.t dengan zikir, syukur, dan sabar. Kesabarannya
menyebabkan beliau memperoleh keselamatan dan rahsia pujian Allah s.w.t
padanya.
Al-Quran al-Karim tidak
menyebutkan bentuk dari penyakitnya, dan banyak cerita-cerita dongeng yang
mengemukakan tentang penyakitnya. Dikatakan bahawa beliau terkena penyakit
kulit yang dahsyat sehingga manusia-manusia enggan untuk mendekatinya. Dalam
cuplikan kitab Taurat disebutkan berkenaan dengan Nabi Ayub: "Maka
keluarlah syaitan dari haribaan Tuhan dan kemudian Ayub terkena suatu luka yang
sangat mengerikan dari ujung kakinya sampai kepalanya." Tentu kita menolak
semua ini sebagai suatu hakikat yang nyata. Kami pun tidak mentolerir jika itu
dianggap sebagai perbuatan seni semata. Perhatikanlah ungkapan dalam Taurat:
"Kemudian syaitan keluar dari haribaan Tuhan kita," sebagai
orang-orang Muslim, kita mengetahui bahawa syaitan telah keluar dari haribaan
Tuhan sejak Allah s.w.t menciptakan Adam as. Maka, kapan syaitan kembali ke
riba Tuhan? Kita berada di hadapan ungkapan seni, tetapi kita tidak berada di
hadapan suatu hakikat.
Lalu, bagaimana hakikat
sakitnya Nabi Ayub dan bagaimana kisahnya? Yang popular tentang cubaan Nabi
Ayub dan kesabarannya adalah riwayat berikut: para malaikat di bumi berbicara
sesama mereka tentang manusia dan sejauh mana ibadah mereka. Salah seorang di
antara mereka berkata: "Tidak ada di muka bumi ini seorang yang lebih baik
daripada Nabi Ayub. Beliau adalah orang mukmin yang paling sukses, orang mukmin
yang paling agung keimanannya, yang paling banyak beribadah kepada Allah s.w.t
dan bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya dan selalu berdakwah di jalan-Nya."
syaitan mendengarkan apa yang dikatakan lalu ia merasa terganggu dengan hal
itu. Kemudian ia pergi menuju ke Nabi Ayub dalam rangka berusaha menggodanya
tetapi Nabi Ayub adalah seorang Nabi di mana hatinya dipenuhi dengan ketulusan
dan cinta kepada Allah s.w.t sehingga syaitan tidak mungkin mendapatkan jalan
untuk mengganggunya.
Ketika syaitan berputus
asa dari mengganggu Nabi Ayub, ia berkata kepada Allah s.w.t: "Ya Rabbi,
hamba-Mu Ayub sedang menyembah-Mu dan menyucikan-Mu namun, ia menyembah-Mu
bukan kerana cinta, tapi ia menyembah-Mu kerana kepentingan-kepentingan
tertentu. Ia menyembah-Mu sebagai balasan kepada-Mu kerana Engkau telah
memberinya harta dan anak dan Engkau telah memberinya kekayaan dan kemuliaan. Sebenarnya
ia ingin menjaga hartanya, kekayaannya, dan anak-anaknya. Seakan-akan berbagai
nikmat yang Engkau kurniakan padanya adalah rahsia dalam ibadahnya. Ia takut
kalau-kalau apa yang dimilikinya akan binasa dan hancur. Oleh kerana itu,
ibadahnya dipenuhi dengan hasrat dan rasa takut. Jadi, di dalamnya bercampur
antara rasa takut dan tamak, dan bukan ibadah yang murni kerana cinta."
Riwayat tersebut
mengatakan bahawa Allah s.w.t berkata kepada iblis: "Sesungguhnya Ayub
adalah hamba yang mukmin dan sejati imannya. Ayub menjadi teladan dalam
keimanan dan kesabaran. Aku membolehkanmu untuk mengujinya dalam hartanya.
Lakukan apa saja yang engkau inginkan, kemudian lihatlah hasil dari apa yang
engkau lakukan."
Akhirnya, syaitan pergi
dan mendatangi tanah Nabi Ayub dan berbagai tanaman dan kenikmatan yang
dimilikinya. Kemudian syaitan itu menghancurkan semuanya. Keadaan Nabi Ayub pun
berubah dari puncak kekayaan ke puncak kefakiran. Kemudian syaitan menunggu apa
tindakan Nabi Ayub. Nabi Ayub berkata: "Oh musibah dari Allah s.w.t. Aku
harus mengembalikan kepada-Nya amanat yang ada di sisi kami di mana Dia saat
ini mengambilnya. Allah s.w.t telah memberi kami nikmat selama beberapa masa.
Maka segala puji bagi Allah s.w.t atas segala nikmat yang diberikannya, dan Dia
mengambil dari kami pada hari ini nikmat-nikmat itu. Bagi-Nya pujian sebagai
Pemberi dan Pengambil. Aku dalam keadaan redha dengan keputusan Allah s.w.t.
Dia-lah yang mendatangkan manfaat dan mudarat. Dia-lah yang redha dan Dialah
yang murka. Dia adalah Penguasa. Dia memberikan kerajaan kepada siapa yang di
kehendaki-Nya, dan mencabut kerajaan dari siapa yang dikehendaki-Nya; Dia
memuliakan siapa yang dikehendaki-Nya dan menghinakan siapa yang dikehendaki-
Nya." Kemudian Nabi Ayub sujud dan Iblis tampak tercengang melihat
pemandangan tersebut.
Lalu syaitan kembali
kepada Allah s.w.t dan berkata: "Ya Allah, jika Ayub tidak menerima nikmat
kecuali dengan mengatakan pujian, dan tidak mendapatkan musibah kecuali
mendapatkan kesabaran maka hal itu sebagai bentuk usahanya kerana ia
mendapatkan anak. Ia mengharapkan dengan melalui mereka kekayaannya meningkat
dan melalui mereka ia dapat menjalani kehidupan yang lebih mudah." Riwayat
mengatakan bahawa Allah s.w.t membolehkan bagi syaitan untuk berbuat apa saja
kepada anak-anak Ayub. Kemudian syaitan menggoncangkan rumah yang di situ
anak-anaknya tinggal sehingga mereka semua terbunuh. Dalam keadaan demikian,
Nabi Ayub berdialog kepada Tuhannya dan menyeru: "Allah memberi dan Allah
mengambil. Maka bagi-Nya pujian saat Dia memberi dan mengambil, saat Dia murka
dan redha, saat Dia mendatangkan manfaat dan mudarat. Kemudian Ayub pun sujud
dan iblis lagi-lagi tampak tercengang dan merasa malu."
Iblis kembali menemui
Allah s.w.t dan mengatakan bahawa Ayub dapat bersabar kerana badannya sehat.
Seandainya Engkau memberi kekuasaan kepadaku, ya Rabbi, untuk mengganggu
badannya nescaya dia akan berhenti dari kesabarannya. Riwayat mengatakan bahawa
Allah s.w.t menginzinkan syaitan untuk mengganggu tubuh Ayub. Dikatakan bahawa
syaitan memukul tubuh Nabi Ayub dari kepalanya sampai kakinya sehingga Nabi
Ayub sakit kulit di mana tubuhnya membusuk dan mengeluarkan nanah, bahkan
keluarganya dan sahabat-sahabatnya meninggalkannya kecuali isterinya. Namun
lagi-lagi Nabi Ayub tetap bersabar dan bersyukur kepada Allah s.w.t. Beliau
memuji-Nya pada hari- hari kesehatannya dan ia tetap memuji Allah s.w.t saat
mendapatkan ujian sakit. Dalam dua keadaan itu, Nabi Ayub tetap bersabar dan
bersyukur kepada Allah s.w.t.
Melihat pemandangan itu,
amarah syaitan semakin meningkat namun ia tidak mengetahui apa yang harus
dilakukannya. Di sini syaitan mengumpulkan para penasihatnya dari pakar-pakar
dan ia menceritakan tentang kisah Ayub dan meminta mereka mengeluarkan
pendapat—setelah ia menyampaikan rasa putus asanya saat menggodanya atau
mencuba menghilangkan sifat sabarnya dan syukurnya.
Salah seorang syaitan
berkata: "Sungguh engkau telah mengeluarkan Adam bapak manusia dari
syurga, lalu dari mana engkau mendatanginya? Oh, yang engkau maksud adalah
Hawa?" Terbukalah di hadapan Iblis suatu ide yang baru. Lalu ia pergi ke
isteri Ayub dan memenuhi hatinya dengan rasa putus asa sehingga ia pergi ke
Ayub dan berkata padanya: "Sampai kapan Allah s.w.t menyiksamu? Di mana
harta, keluarga, teman dan kaum kerabat? Di mana masa jayamu dan kemuliaanmu
dahulu?"
Mendengar perkataan
isterinya itu, Nabi Ayub menjawab: "Sungguh engkau telah dikuasai oleh
syaitan. Mengapa engkau menangisi kemuliaan yang telah berlalu dan anak yang
telah mati?" Perempuan itu berkata: "Mengapa engkau tidak berdoa
kepada Allah agar Dia menghilangkan cubaan darimu dan menyembuhkanmu serta
menghilangkan kesedihannmu?" Nabi Ayub berkata: "Berapa lama kita
merasakan kebahagiaan?" Isterinya menjawab: "Delapan tahun."
Ayub berkata: "Berapa lama kita mendapat penderitaan?" Isterinya
menjawab: "Tujuh tahun." Ayub berkata: "Aku malu jika aku
meminta agar Allah s.w.t melepaskan penderitaanku ketika aku melihat masa
kebahagiaanku. Sungguh imanmu tampak melemah dan keputusan Allah s.w.t membuat
hatimu menjadi sempit. Seandainya aku sembuh dan kembali kepada kekuatanku,
nescaya aku akan memukulmu dengan seratus kali pukulan dari tongkat. Sejak hari
ini, aku tidak memakan dari makananmu dan dari minumanmu atau memerintahkanmu
untuk melakukan suatu urusan. Maka pergilah kau dariku."
Akhirnya, isteri Nabi Ayub
pergi sehingga Nabi Ayub tinggal sendirian dalam keadaan sabar menanggung
penderitaannya. Penderitaan yang seandainya ditimpakan kepada gunung nescaya
gunung tidak akan mampu menahannya. Kemudian Nabi Ayub berdoa kepada Allah
s.w.t dalam keadaan penuh kasih sayang dan meminta belas kasih kepada-Nya.
Beliau berdoa agar Allah s.w.t menyembuhkannya. Dan akhirnya, doanya dikabulkan
oleh Allah s.w.t. Demikianlah riwayat yang popular berkenaan dengan penderitaan
Nabi Ayub dan kesabarannya.
Menurut hemat kami riwayat
ini palsu kerana ia sesuai dengan teks Taurat yang menjelaskan sakitnya Nabi
Ayub. Begitu juga kami tidak menerima jika dikatakan bahawa penyakitnya sangat
buruk sekali yang menyebabkan masyarakat lari darinya sebagaimana dikatakan
oleh dongeng-dongeng kuno. Bagi kami, riwayat semacam itu bertentangan dengan
kedudukan kenabian. Yang perlu kita perhatikan dan perlu kita pastikan adalah
apa-apa yang telah disampaikan oleh Al-Quran berkenaan dengan cerita Nabi Ayub.
Al-Quran adalah kitab satu-satunya yang pasti benar yang tiada kebatilan di
depan dan di belakangnya.
Allah s.w.t berfirman:
"Dan (ingatlah kisah)
Ayub ketika ia menyeru Tuhannya: ('Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa
penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua
penyayang.' Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan
penyakit yang ada padanya dan Kami kembalian keluarganya kepadanya, dan Kami
lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk
menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah."
(QS. al-Anbiya': 83-84)
Kita telah memahami bahawa
Nabi Ayub adalah hamba yang soleh dari hamba-hamba Allah s.w.t. Allah s.w.t
menginginkan untuk mengujinya dalam hartanya, keluarganya, dan badannya.
Hartanya hilang sehingga ia menjadi orang fakir setelah sebelumnya ia termasuk
orang yang paling kaya. Kemudian ia ditinggalkan oleh isterinya dan keluarganya
sehingga ia merasakan erti kesunyian dan kesendirian lalu ia ditimpa penyakit
dalam tubuhnya dan ia merasa menderita kerananya, tetapi beliau tetap sabar
menghadapi semua itu dan tetap bersyukur kepada Allah s.w.t.
Sakit yang dideritanya
cukup lama sehingga beliau menghabiskan waktu- waktu dan hari-harinya dalam
keadaan sendirian bersama penyakitnya, rasa sedihnya, dan kesendiriannya.
Demikianlah Nabi Ayub merasakan segi tiga penderitaan. Segi tiga penderitaan
dalam hidupnya, yaitu sakit, kesedihan, dan kesendirian. Di saat beliau
mendapat cubaan seperti itu, pada suatu hari datang pada beliau salah satu
pemikiran syaitan. Fikiran itu berputar-putar di relung hatinya; fikiran itu
mengatakan padanya, wahai Ayub penyakit ini dan penderitaan yang engkau rasakan
oleh kerana godaan dariku. Seandainya engkau berhenti sabar dalam satu hari
saja nescaya penyakitmu akan hilang darimu. Kemudian manusia-manusia
berbisik-bisik dan berkata: Seandainya Allah s.w.t mencintainya nescaya ia
tidak akan merasakan penderitaan yang begitu hebat. Demikianlah pemikiran yang
jahat itu. syaitan tidak mampu untuk mengganggu seseorang kecuali dengan izin
Allah s.w.t sebagaimana Allah s.w.t tidak menjadikan cinta-Nya kepada manusia
identik dengan kesihatan mereka. Sesungguhnya Allah s.w.t menguji mereka
sebagaimana yang dikehendaki-Nya.
Fikiran syaitan itu berputar di sekitar
hati Nabi Ayub seperti berputarnya lalat di musim panas di sekitar kepala
manusia, namun beliau mampu menghilangkan fikiran ini dan sambil tersenyum
kepada dirinya beliau berkata: "Keluarlah hai syaitan! Sungguh aku tidak
akan berhenti bersabar, bersyukur, dan beribadah." Akhirnya, fikiran jahat
itu dengan rasa putus asa keluar dari akal Nabi Ayub. Nabi Ayub duduk dalam
keadaan marah kerana syaitan berani untuk mengganggunya. Beliau membayangkan
bahawa boleh jadi syaitan berani menggodanya dengan memanfaatkan
kesendiriannya, penderitaannya, dan penyakitnya.
Isteri Nabi Ayub datang
dalam keadaan terlambat dan mendapati Nabi Ayub dalam keadaan marah. Isterinya
itu menutupi kepalanya dengan suatu kain tertutup. Isteri Nabi Ayub
menghadirkan atau menghidangkan makanan yang baik untuknya. Nabi Ayub bertanya
padanya: "Dari mana engkau mendapati wang?" Nabi Ayub telah bersumpah
akan memukulnya seratus kali pukulan dengan tongkat ketika beliau sembuh,
tetapi kesabarannya sungguh sangat luas seperti sungai yang besar. Dan di waktu
sore, setelah mengetahui kehalalan makanan yang dihidangkan, beliau pun
memakannya. Kemudian Nabi Ayub keluar menuju ke gunung dan berdoa kepada
Tuhannya.
Allah s.w.t berfirman:
"Dan ingatlah akan hamba
Kami Ayub ketika ia menyeru Tuhannya: 'Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan
kepayahan dan seksaan' (Allah berfirman): 'Hentamkanlah kakimu; inilah air yang
sejuk untuk mandi dan untuk minum. Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan
kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka pula
sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran.
Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu dan
janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami mendapati dia (Ayuh) seorang
yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia sangat taat (kepada
Tuhannya)."
(QS. Shad: 41-44)
Bagaimana kita memahami
perkataan Nabi Ayub, "Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan
dan seksaan."? Nabi Ayub ingin mengadukan kepada Tuhannya perihal
keberanian syaitan padanya di mana syaitan membayangkan bahawa ia dapat
mengganggunya. Nabi Ayub tidak percaya bahawa sakit yang dideritanya adalah
datang kerana pengaruh syaitan.
Demikianlah pemahaman yang
sesuai dengan kemaksuman para nabi dan kesempurnaan mereka. Allah s.w.t
memerintahkan beliau untuk mandi di salah satu mata air di gunung. Allah s.w.t
memerintahkannya agar beliau minum dari mata air ini. Kemudian Nabi Ayub
melaksanakan perintah ini dan mandi serta minum. Belum lama beliau minum pada
tegukan yang terakhir sehingga beliau merasakan sehat dan sembuh sepenuhnya
dari penyakitnya. Kemudian suhu panas dalam tubuhnya pun kembali normal seperti
biasanya. Allah s.w.t memberikan kepada Ayub dan keluarganya dan orang-orang
yang seperti mereka suatu rahmat dari sisi-Nya sehingga Nabi Ayub tidak kembali
sendirian. Allah s.w.t memberinya berlipat-lipat kekayaan dan kemuliaan dari
sisi-Nya sehingga Ayub tidak menjadi fakir.
Nabi Ayub kembali
mendapatkan kesehatannya setelah lama merasakan penderitaan dan sakit; Nabi
Ayub bersyukur kepada Allah s.w.t. Beliau telah bersumpah untuk memukul
Isterinya sebanyak seratus pukulan dengan tongkat ketika beliau sembuh.
Sekarang beliau sembuh maka Allah s.w.t mengetahui bahawa beliau tidak
bermaksud untuk memukul Isterinya. Namun agar beliau tidak sampai melanggar
janjinya dan sumpahnya, Allah s.w.t memerintahkannya agar segera mengumpulkan
seikat ranting dari bunga Raihan yang berjumlah seratus dan hendaklah beliau
memukulkan itu kepada isterinya dengan sekali pukulan. Dengan demikian, beliau
telah memenuhi sumpahnya dan tidak berbohong. Allah s.w.t membalas kesabaran
Ayub dan memujinya dalam Al-Quran sebagaimana firman-Nya:
"Sesungguhnya Kami
dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya
dia amat taat (kepada Tuhannya)."
(QS. Shad: 44)
No comments:
Post a Comment